
Deklarasi Millineum telah diperkenalkan semasa Sidang Kemuncak Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada bulan September 2000. Matlamat Pembangunan Millineum (MDG) muncul sebagai satu cara utama dalam melaksanakan deklarasi tersebut bagi memperkukuhkan usaha ke arah keamanan, demokrasi, urus tadbir yang baik dan pembasmian kemiskinan secara global di samping mempromosi prinsip hak-hak asasi manusia dan kehormatan. Matlamat MDG Malaysia telah berubah mengikut tahun dan keperluan semasa.
MDG merangkumi 8 elemen yang saling berkaitan dan perlu dilihat secara menyeluruh. Ia mencerminkan perkongsian antara Negara-negara membangun. Elemen-elemen tersebut ialah; Membasmi kemiskinan dan kelaparan, Mencapai pendidikan rendah yang universal, Meningkatkan keselematan gender dan memperkasakan wanita, Mengurangkan mortaliti kanak-kanak, Memperbaiki kesihatan ibu bersalin, Mencegah HIV/AIDS, Malaria dan penyakit lain, Memastikan alam sekitar yang lestari dan Mewujudkan perkongsian global untuk pembangunan.

Malaysia telah mencapai beberapa matlamat pembangunan nasional yang secara kebetulan merangkumi elemen-elemen penting MDG sejak tahun 1960an lagi. Pencapaian dan kedudukan Malaysia yang cemerlang dalam pembangunan ekonomi dan sosial adalah berasaskan kepada dasar-dasar baru dan strategi yang digubal di bawah Rangka Rancangan Jangka Panjang yang dilaksanakan secara sistematik melalui Rancangan Malaysia Lima Tahun.
Sejarah kejayaan pentadbiran Malaysia telah menjadi satu pencapaian terbaik dalam memastikan elemen-elemen di dalam MDG tercapai. Pembasmian kemiskinan merupakan salah satu objektif utama di dalam MDG telah menjadi isu penting pada tahun 1970an di Malaysia. Ketika itu, separuh daripada isi rumah berada di dalam kemiskinan. Isu pendidikan yang juga salah satu elemen di dalam MDG telah menjadi isu penting Negara pada taun 1990an. Namun kedua-dua isu ini berjaya di tangani sehinggakan kadar kemiskinan semakin mengurang dan kadar penduduk yang tidak mendapat pelajaran semakin mengecil. Namun pencapaian Malaysia dalam menghapuskan AIDS/HIV sebelum tahun 2015 masih membimbangkan. Kes HIV dilaporkan berganda pada setiap tiga tahun dan kerajaan masih terus berusaha untuk menghapuskan AIDS/HIV ini.
Dengan tercapainya sebahagian besar sasaran MDG, cabaran Malaysia adalah untuk mengekalkan tahap pencapaian ini dalam mengendalikan sasaran MDG yang lain. Langkah Malaysia seterusnya adalah untuk mengenalpasti tugas dan menentukan keutamaan yang perlu dilaksanakan untuk mengekalkan kemajuan secara berterusan supaya menjadi contoh bagi Negara lain agar menuju matlamat akhir untuk mencapai status Negara maju.
Strategi utama yang sedang dilaksanakan pada masa kini termasuk membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan pembangunan sumber manusia, mempercepatkan perubahan struktur dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, menggiat semula sektor pertanian dan memperkukuhkan kestabilan sosio-ekonomi dengan meningkatkan perkongsian di antara sektor awam dan swasta. Adalah dijangkakan pertumbuhan ekonomi yang pesat secara berterusan akan dapat membantu Negara mencapai Matlamat Pembangunan Millineum.
