beKERJA lebih GIGIH - berUSAHA lebih KUAT - berDOA lebih KERAP - berFIKIR lebih MATANG - berTINDAK lebih TEPAT

HiKaYat AGUNG PerMATA PujangGA




 Cubaan untuk menulis Novel Bacaan Sendiri...
.............................................................................................................

Cerita I

Keadaan tidak pernah memberi ruang untuk An-Nisa mengikut kata hatinya. Setiap perlakuan dan tindakan harus mengikut telunjuk keluarga. Kini bila tiba masa untuk dia menyemai benih cinta membina sebuah rumahtangga sendiri, perlukah jua dia memperakui semua perintah daripada ibu dan ayahnya. Walaupun jiwanya sentiasa memberontak, tapi sebagai anak perempuan yang taat tak terdetik sekalipun untuk dia melawan. Malah terus tunduk mendiamkan diri.

Hembusan nafas kecil dihela pabila memandang keluar daripada tingkap biliknya. Dibawah kelihatan ibu dan ayahnya tersenyum riang menghantar tetamu itu pulang. Dia memandang mereka hingga masuk ke dalam perut kereta Proton Inspira putih yang diparkir di hadapan rumahnya. Kelihatan tingkap pemandu diturunkan, pemandu itu berkalih ke arah tingkap tempat dia berdiri. Segaris senyuman terpalit. Kemudian pemandu itu kembali memandang ke arah keluarganya. Tangan dilambai dan kereta bergerak ke hadapan meninggalkan rumahnya.

Sejurus selepas kereta itu hilang daripada pandangannya, An-Nisa menuju ke katilnya, Merebahkan badan sambil fikiran terus terawang mengingatkan kejadian sebentar tadi. Kehadirannya tidak pernah diundang. Malah kelibat lelaki itu juga tidak pernah dilihatnya selama ini. Tetapi dalam keriangan sambil menyanyi-nyanyi kecil sewaktu masuk ke dalam rumah sekembalinya dari pejabat, kepalang terkejut dek panggilan ayahnya di ruang tamu. Memasuki ruang tamu, kelihatan seorang lelaki berbaju kemeja kemas berada bersama dengan ayahnya.

"An-Nisa, ayah kenalkan Faroqi anak kepada kawan ayah. Faroqi, ini anak pakcik, An-Nisa." An-Nisa terkedu seketika. Selembar senyuman dihadiahkan lelaki itu kepadanya. An-Nisa menundukkan sedikit kepala kemudian menoleh ke arah ayahnya.

Belum sempat sepatah kata keluar daripada bibirnya, ayahnya mengarahkan dia untuk duduk menemani lelaki itu. "Temankan Faroqi sekejap, ayah nak naik ke atas solat asar. Faroqi pakcik naik sekejap yer, bual-buallah dengan Nisa dahulu".

"Baik pakcik". An-Nisa melabuhkan punggungnya di kerusi berhadapan dengan Faroqi. Sedikit gugup. Namun keduanya masih memandang kelibat ayah An-Nisa yang berjalan menuju ke arah tangga yang menghubungkan tingkat bawah dengan tingkat atas.



 ...........................................................................................................................