beKERJA lebih GIGIH - berUSAHA lebih KUAT - berDOA lebih KERAP - berFIKIR lebih MATANG - berTINDAK lebih TEPAT

Saturday, November 1, 2008

Facebook Maniac

Setahun yang lalu, begitu banyak email yang saya terima untuk memulakan akaun facebook, namun begitu saya mengambil sikap endah tak endah kerana merasakan cukup hanya dengan menggunakan friendster sebagai perantara dalam mengenali dan terus berhubung dengan kawan-kawan yang ada di segenap penjuru dunia.

Namun, beberapa minggu yang lalu saya melihat ke dalam satu laman web yang memberikan "trafic rangking" terhadap laman web yang ada di seluruh dunia, dan bagi Malaysia, facebook antara 10 yang teratas dan membawa maksud begitu ramai rakyat di negara ini menggunakan facebook sebagai medium perhubungan sesama mereka. Hal ini menarik minat saya untuk mencuba.

Saya telah mencuba selama seminggu dan apa yang membuatkan saya tertarik adalah antaramukanya yang mudah, berbagai dan mempunyai pelbagai fungsi dalam berhubung. Yang paling saya minati adalah "Pet Society" yang membolehkan kita berhubung dengan kawan-kawan dengan menggunakan "haiwan peliharaan". Dan melalui haiwan ini, kita dapat melakukan pelbagai aktiviti yang menarik dan tidak membosankan.

Walau apapun, facebook mungkin berguna kepada kita dalam mendepani peningkatan teknologi terkini dan kemajuan era teknologi maklumat yang semakin berkembang. Namun, apa yang menjadi peringatan adalah terhadap kerja hakiki yang perlu diutamakan dan jangan sehingga terabai kerana ia akan menyebabkan kita dibuang kerja.

Apapun, selamat berhubung di dalam dunia siber. Saya juga menyarankan kepada kawan-kawan dan para belia untuk terus menggunakan medium seperti ini kerana ia mampu memberikan peluang kepada kita untuk memajukan diri.

Sekian.

No comments: