Ruang bersama ibu sangatku raikan dengan gembiranya... Dalam dunia yang sentiasa dikejar dan mengejar masa, peluang untuk bersama orang yang mengandungkan diri ini dengan susah payah agak sukar diperoleh. Namun setiap kali peluang terhidang, akan ku gunakan sebaik mungkin, demi menunjukkan betapa dirimu amat aku hargai dan sayangi. Sejak dirimu melahirkanku banyak cerita-cerita betapa seringkali diriku menyusahkanmu... Banyak yang membuatkan diri ini sayu, hiba dan kasih akan dirimu.
Kisah kau memandikan diri ini semasa kecil. Katamu, diri ini hanyalah sebesar lenganmu. Kau baringkan diriku di atas lenganmu, kepala kecilku kau pegang di dalam genggamanmu. Perlahan dan penuh kasih kau curahkan air bersama selawat dan zikir dibibir yang tidak pernah putus. Mungkin juga doa agar anakmu ini tidak menjadi seorang yang lemah, terhina dan kotor pada masa hadapan. Dan duhai ibu, ku bersyukur kerana kau yang memandikan diri ini dengan penuh sayang, kerana anakmu kini sentiasa tahu menjaga kebersihan diri luar dan dalam. I'allah.
Diwaktu aku dihantar ke sekolah asrama, kau menangis teresak lantaran pertama kali ku berjauhan denganmu. Tahukah dirimu ibu, aku turut merasainya, malah tak ku malu untuk akui diri ini juga pernah menitiskan air mata merindui dirimu semasa di awal dunia persekolahan diasramaku itu. Tabah dan doamu yang tak pernah putus membuatkan diri ini kuat dan yakin untuk terus berdikari sehingga ku kira berjaya menimba ilmu dan menjadi sorang yang kau harapkan.
Setiap kali tibanya waktu peperiksaan, tak pernah putus kau memberikan nasihat dan ingatan. Malah tak kunjung padam pula diri ini menelefon dan bercakap-cakap denganmu untuk mendapatkan keyakinan. Malah usaha gigihmu yang setiap kali waktu diri ini sedang bertungkus-lumus menjawab soalan, kau berseorangan dirumah bertemankan surah yassin dan berdoa untuk diriku beroleh ketenangan semasa berperang dengan soalan-soalan periksaku. Alhamdulillah, wahai ibuku, walaupun tidak seberapa, namun ku harap diri ini telah membalas usaha gigihmu dengan kejayaan penuh makna.
Lantaran semakin jauh kita berpisah, ingatan dan dorongan darimu tak pernah hilang. Malah kau sering menelefon diri ini bertanyakan khabar, menambahkan pengetahuan juga menunjukkan kasih. Dek kerana itu ibu, ku berjuang hingga ku akhirnya diterima masuk ke universiti yang kau inginkan selama ini. Malah sering pula ku berseleroh tiap kali tamat menjawab soalan betapa diri ini sentiasa ada jawapan terhadap soalan yang ditanya, namun betul atau salah terpulang pada pensyarah yang memeriksanya. Dan ibu, akhirnya usaha gigih, dorongan kuat dan doa yang tak putus darimu telah membina diri ini menjadi seperti apa yang ku miliki kini.
Senda guraumu, marah sayangmu, bebelan manjamu juga renungan tajam matamu, sentiasa dalam kotak ingatanku walau dimana kaki ini berpijak. Kau ku sanjung tinggi kerana hebatnya dirimu selama ini mendidik diriku. Walaupun tiadalah diri ini berjaya, namun ukiran senyuman dibibirmu tiap kali ku pulang menemuimu, sentiasa memberi keriangan dan kegembiraan yang tak terhingga. Sesungguhnya duhai ibu, walau datang berjuta wanita dan kawan, anakmu yang daif ni berdoa agar sentiasa diberi ingatan dan kekuatan untuk berbakti padamu, mengutamakan dirimu serta menggembirakan diri. Menghilangkan dukamu, mengurangkan bebanmu serta menjauhkan sedihmu.
Wahai ibu yang ku sayangi dan ku sanjungi, kau akan tetap dihatiku sepertimana kau sentiasa meletakkan aku didalam tiap doamu. Tiada ibu yang terbaik buatku melainkan takdir Ilahi yang memastikan dirimulah ibu TERBAIK yang perlu diri ini kasih dan sayangi. Pengorbananmu takkan sama dengan bakti yang ku curah, tapi akan ku tetap berusaha demi kebahagiaan dirimu baik di dunia mahupun diakhirat.
Selamat hari ibu walaupun tiap hari ingin ku sambutnya tanda sejahteraku padamu. Izinkanlah diri ini mengucup tanganmu setiap kali ku meninggalkanmu dan biarlah ku tatap senyummu setiap kali ku pulang mendapatkanmu. Aku mencintaimu sepertimana kau mencintai Tuhanmu wahai IBUKU....
No comments:
Post a Comment